Kisah Balan-Balan Hantu Seram Masyarakat Brunei di Papar

Penulis @zayyadmikael Dari Brunei


Kisah Balan-Balan Hantu Seram Masyarakat Brunei di Papar

Terlalu banyak cerita atau kisah seram yang sering diperdengarkan kepada masyarakat berkaitan dengan kisah hantu sejak dari zaman kanak-kanak lagi. Oleh sebab itulah kisah seram ini menjadi kepercayaan kepada anak kecil sehingga tertanam dalam fikiran mereka. Malah ada sesetengah ibu bapa yang memjadikan cerita seram ini sebagai cara untuk melarang anak mereka dari melakukan sesuatu. Namun begitu apa yang saya ingin kongsikan di sini ialah kisah seram yang benar-benar terjadi di tempat saya sendiri.

Pada tahun 2015 yang lalu, aku telah dijemput oleh rakan ku untuk menghadiri sebuah majlis kenduri kesyukuran yang kebetulan diadakan pada sebelah malam. Seperti biasa setelah majlis selesai, aku dan rakan yang lain akan lepak di rumah rakan tadi untuk duduk berbual. Tambahan lagi bila ada rakan yang jarang sekali bertemu kerana sibuk dengan urusan masing-masing. Oleh kerana rumah rakan tadi terletak ditepi jalan, maka senanglah untuk kami tahu setiap orang yang melalui jalan itu.

Kami dikejutkan dengan kehadiran seseorang pemuda yang tidak dikenali yang tiba-tiba datang sambil menjerit “..siap kamu..” dengan dialek bahasa lain) bukan dialek bahasa brunai. Disebabkan geram dan marah dengan sikap pemuda tadi aku dan rakan yang lain keluar dan mengejar pemuda tadi. Cuma yang menjadi tanda tanya dalam beberapa saat sahaja kelibat pemuda tadi telah hilang dari pandangan. Terdetik dalam hati aku “..laju jua urang ani berlusir (bahasa brunai)..”. Oleh sebab itu kami pun berhenti dan membiarkan saja keadaan tadi kerana menganggap suasana tadi hanya akan terhenti begitu saja.

Keesokkan hari, aku dikejutkan lagi dengan khabar yang lebih dahsyat. Balan-balan?? Ya, itulah berita yang aku dapat dari orang tua ku apabila jiran kepada rakan ku malam tadi terserempak dengan lembaga itu. Kedengaran nada whatsapp telefon bimbit ku berbunyi tanpa henti. Memang itulah juga cerita yang hangat dikatakan. Bermula dari itulah aku dan beberapa orang rakan yang lain seramai enam orang mula membentuk sebuah kumpulan untuk berkawal bagi memastikan cerita orang kampung ini adalah benar. Meskipun kumpulan kami ini tidak mendapat persetujuan ketua kampung tetapi sedikit pun tidak mematahkan semangat kami.

Malam pertama kami berkawal bermula dari jam 9.00 malam sehingga 2.00 pagi memang tidak ada apa yang kami perolehi. Sehinggalah sampai pada malam yang ketiga. Waktu itu jam sudah pun sampai 11.40pm. Masih jelas lagi di mata ku sendiri. Pada mulanya salah seorang rakan ku sambil berseloroh bertanya kepada kami “..anak ayam siapa jua talapas tangah-tangah malam ani..”. Kami tergelak beramai-ramai dengan memyatakan mungkin anak ayam rakan tadi yang terlepas dari reban. Hanya beberapa saat selepas itu seorang lagi rakan ku tiba-tiba menjerit sambil menunjuk ke arah bumbung balai raya kampung “..balan-balan!!!..”. Ya, kelihatan seperti kepala yang tidak bertubuh dan hanya isi perut serta rambut yang panjang terbang setinggi 5 meter tidak jauh dari pondok kami. Seperti terkena renjatan elektrik kami terpaku seakan khayal dengan apa yang baru sahaja kami lihat. Hanya selepas beberapa saat barulah kami mula mengejar sambil membaling kayu dan batu ke arah makhluk mistik itu tadi.


Selepas kejadian malam ketiga itu barulah penduduk kampung yang lain mula berkawal bersama. Hasil bantuan penduduk kampung jugalah pondok-pondok kawalan mula bertambah hampir disetiap kawasan kampung. Setelah seminggu berkawal kami didatangi oleh sekumpulan lelaki yang tidak kami kenali. Salah seorang datang kepada ku sambil memperkenalkan diri sebagai Eyan yang berasal dari Kota Belud, Sabah. Eyan memaklumkan bahawa dia dan rakannya itu mempunyai kemahiran untuk menangkap balan-balan. Satu perbincangan antara aku dan rakan ku bersama dengan kumpulan Eyan telah dibuat. Perbincangan itu juga turut dihadiri oleh ketua kampung dan pengerusi Jawatankuasa kampung bagi memberi kebenaran kepada Eyan untuk menangkap balan-balan yang mengganggu penduduk kampung. Satu persetujuan telah dibuat. Eyan dan rakannya akan menangkap balan-balan itu pada malam keesokkannya dan lokasinya adalah di gelanggang futsal kampung ku. Ini kerana tempat itu amat sesuai kerana kawasannya yang luas.

Seperti yang dijanjikan, Eyan pun datang dengan dihadiri oleh penduduk kampung yang lain. Tepat jam 8.00 malam Eyan memulakan ritual upacara untuk menangkap balan-balan. Semua penduduk kampung yang datang diminta untuk senyap dan tidak dibenarkan membuat bising langsung. Eyan memulakan ritualnya dengan menyalakan api sambil membawa sesuatu di dalam beg plastik. Aku semakin hairan dan tertanya-tanya akan benda yang ada di dalam beg itu. Alangkah terkejutnya bila aku tahu rupanya beg plastik yang dipegangnya itu adalah bulu ayam. Di hadapan api tadi kelihatan mulut Eyan seakan membaca sesuatu sambil membakar bulu ayam yang dibawanya tadi. Serentak itulah juga kami melihat satu lembaga terbang yang datang ke arahnya dan pada masa itulah juga rakan Eyan datang merempuh dengan melemparkan jala untuk menangkap balan-balan tadi.

Selepas peristiwa malam itu, kampung kami tidak lagi diganggu oleh balan-balan. Aktiviti penduduk kampung sudah mula berjalan seperti biasa. Tidak ada lagi yang merasa takut untuk keluar berseorangan.

Subscribe to receive free email updates: